Saturday, December 14, 2013


SAYA pernah bertanya kepada bekas seorang Pengarah Urusan sebuah syarikat automotif mengenai pengeluar manakah yang bakal menjadi ancaman kepada syarikatnya.Jawapannya di luar jangkaan apabila dia tidak menyebut jenama Korea Selatan seperti yang saya jangkakan. Jawapan yang diberikan ialah Nissan dengan alasan pengeluar tersebut boleh menawarkan harga kereta yang murah.


Benar katanya, selang beberapa bulan kemudian, Nissan melancarkan Almera pada harga RM66,000 yang berada pada paras harga kereta nasional.Serta-merta Almera menjadi popular dan mencatat rekod tempahan melebihi 15,000 unit dalam masa tiga bulan selepas dilancarkan pada penghujung Oktober 2012. Almera juga terbukti popular apabila mencatat carian tertinggi dalam senarai automotif Google untuk tahun 2012.


Selepas enam bulan dilancarkan, saya mendapat peluang untuk memandu uji Nissan Almera Grade E. Sebelum itu, sudah lama saya memerhatikan Almera dari luar. Memang diakui saiznya besar dan saya fikir itulah antara faktor jualan utama model tersebut.Nampaknya pasukan pembina model itu berjaya menekan butang yang betul memandangkan banyak sungguh Almera di atas jalan sekarang. Demografi pembelinya juga pelbagai. Lelaki, wanita, muda dan berusia. Selain itu, Almera merupakan alternatif yang segar di antara pesaingnya yang lain seperti Toyota Vios dan Honda City yang kini sudah memasuki kitaran akhir produk. 


Nissan dilihat mempunyai jalan mudah untuk membuat penanda aras memandangkan kedua-dua model itu sudah lama berada di pasaran. Senang kata, Nissan dapat mengagak selera pembeli berdasarkan ciri-ciri yang ada pada pesaingnya. Hasilnya, Almera tampil dengan pakej yang kena dengan selera pengguna. Jadi tidak hairanlah kenapa model itu merupakan sedan global terlaris Nissan. Saiz dalaman Almera memang besar walaupun dari luar nampak kompak. Ini berjaya dilakukan melalui teknik memaksimumkan ruang. Ruang kaki penumpang belakang luas, begitu juga dengan bonet. 


Dua ciri tersebut sangat penting berdasarkan budaya pembeli terutama sekali di negara membangun yang mempunyai keluarga, selain suka berjalan jauh seperti pulang ke kampung dan bercuti. Kerusi pemandu dan penumpang juga selesa. Saya yakin penumpang pasti lena tidur semasa dalam perjalanan. Penjimatan kos Daripada tempat duduk pemandu, kerusinya boleh dilaras ke atas dan ke bawah. Namun disebabkan fizikal saya yang tinggi perbezaannya tidak ketara. Melihat keluar, kereta ini terasa tinggi namun itu merupakan poin bonus untuk pemandu wanita dengan fizikal yang rendah. 


Almera Grade E adalah varian kedua termurah pada harga RM69,000. Maka peralatannya tidaklah semewah varian lain. Terdapat beberapa ciri-ciri penjimatan kos seperti stereng yang kurang selesa dipegang. Perkakasan plastik juga nampak kasar permukaannya.Paparan grafik meter juga berbeza daripada varian lain dan nampak biasa-biasa sahaja. Almera Grade E didatangkan dengan hanya satu beg udara di sebelah pemandu. Tetapi sistem keselamatan lain seperti EBD, BA dan ABS dikekalkan.


Dari segi pemanduan, Almera sememangnya ditala untuk negara membangun dengan keadaan jalan yang tidak sempurna. Almera menyerap hentak lopak jalan dengan baik. Pada kelajuan sederhana di atas lebuh raya, kereta terasa stabil walaupun dengan saiz tayar yang langsing. Kiranya dua ciri tersebut boleh saya kelaskan sebagai bagus.

RUANG kabin dengan rekaan ringkas dan praktikal.



Suasana di dalam kabin juga agak senyap. Namun Almera tidak boleh lari daripada sifat kereta sedan biasa. Olengannya sederhana sewaktu mengambil selekoh, manakala stereng tidaklah ‘setajam’ mana.Untuk kuasa pula, Almera dijana oleh enjin bersesaran 1.5 liter CVTC yang dipadankan dengan transmisi empat kelajuan. Pecutan Almera terasa linear dan saya fikir mungkin itulah karakter enjin moden yang mungkin dipengaruhi oleh teknologi penjimatan minyak. 


Sewaktu memandu dalam keadaan normal, enjin Almera sememangnya senyap dan lancar. Namun karakternya berubah menjadi lebih ‘garau’ apabila gear dianjak daripada seleksi D ke gear 2 semasa mendaki bukit atau memotong kenderaan. Harus diakui Nissan memang pandai memasarkan kereta mereka bagi memenuhi pelbagai kehendak pasaran. Ini boleh dilihat melalui aksesori rasmi dengan jaminan kilang seperti Nismo, Autech dan paling popular ialah Impul. 


Bagi mereka yang mahukan penampilan dan karakter sporty, Nissan ada menyediakan pakej Impul. Pakej itu terdiri daripada kit badan, sistem suspensi dan ekzos dengan tambahan RM10,000 untuk pakej penuh.

Pembeli juga boleh menaik taraf aksesori standard seperti pemain cakera padat kepada DVD dan sistem navigasi, kerusi kulit dan roda aluminium. Jika terasa banyak sangat yang hendak ditambah, beli sahaja model spesifikasi penuh iaitu Grade VL yang pastinya lebih menarik dan mewah. Setakat ini saya sudah memandu uji tiga buah model Nissan. Harus diakui bahawa produknya mempunyai ciri tersendiri seperti pemanduan selesa dan semestinya penggunaan minyak yang ekonomikal.Berdasarkan pengalaman pandu uji, saya dapat rasakan Almera dibina dan dibangunkan oleh pasukan jurutera dan pereka berpengalaman. Mereka berjaya memberikan semua ciri-ciri yang diperlukan oleh pasaran. 


Almera juga dilihat popular kerana ia menawarkan alternatif sesuai untuk mereka yang baru berkeluarga dan pilihan yang segar untuk menaik taraf daripada kereta bandar. Nissan memasarkan Almera pada masa yang sangat sesuai, ketika pengeluar lain sedang menyiapkan model masing-masing.
Artikel dari Kosmo





Antara yang ditawarkan oleh Nissan Almera


Ok ni pulak review dari GearTinggi.com



Nissan ini merupakan satu jenama yang agak kuat di Malaysia. Ikut perkiraan gua, Nissan Sunny merupakan antara model yang paling laku sekali pada sekitar awal 1990an. Dan kesinambungannya diteruskan lagi dengan pengenalan Nissan Sentra atau lebih mudah orang sebut Teksi Genting yang cukup sinonim dengan ketahanannya. Namun, apabila Nissan Sentra edisi yang lebih baru berserta dengan Nissan Latio itu jelas gagal untuk mengekalkan jenama Nissan dalam kategori  Segmen B. Sememangnya Nissan agak jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Toyota mahupun Honda. Itu belum lagi diambil kira dengan kereta jenama Kia yang turut sama bertanding dalam liga yang sama. Namun, kalau bertanding dalam liga MPV bukan kebangsaan, gua rasa semua orang sedar tentang betapa lakunya Nissan Grand Livina sampaikan di kawasan PPRT penempatan gua yang hanya ada dua blok ini pun terdapat lebih daripada 5 buah.


Untuk mengembalikan nostalgia betapa suatu masa dahulu, jenama Nissan pernah mengungguli kereta penumpang, Nissan Almera akhirnya diperkenalkan. Dibina berasaskan platform V yang baharu, Almera ini dipasangkan secara CKD di Serendah. Dan hujung minggu sudah, gua telah berpeluang untuk memandu uji secara singkat Nissan Almera di bertempat di Taman Bukit Jalil. Apabila kali pertama bertentang mata, hati gua pantas berbisik boleh tahan cantik juga bila mana dipakaikan dengan kit badan Impul. Ok, gua faham, bagi peminat tegar Nissan pasti mereka kurang gemar akan rekabentuk yang serupa ini. Tapi harus barang diingat, inilah model sedan global mereka yang sangat laku terutama di China dan juga Thailand. 

Bila mana pandangan umum diambil kira, maka sudah pasti perekabentuk harus bertolak ansur dengan rekaan yang mempunyai jiwa. Rekaan Almera ini sememangnya kelihatan agak lembut dari segala sudut. Jadi perkiraan mudahnya, dengan rekabentuk yang sebegini, sudah pasti menarik perhatian golongan wanita muda yang berkerjaya dan ingatkan sebuah kereta yang tak berapa besar tapi sebenarnya luas di bahagian dalam berserta dengan penggunaan bahan api yang cukup menjimatkan maka Nissan Almera ini pantas akan menarik perhatian disamping eksekutif muda yang berkeluarga kecil. Atau lebih mudahnya lagi, Nissan Almera ini pasti akan memberikan ancanman kepada Toyota Vios mahupun Honda City





Tiga baik butang Start ditekan [gua tak guna sebaik butang Start ditekan sebab gua lupa nak tekan brek, percubaan kali ketiga baru berjaya hidupkan enjin, apalah gua ni..kodi sungguh] gua dengan segera memulas stereng yang terasa amat ringan untuk bergerak berpusing di kawasan berhampiran Taman Bukit Jalil tersebut. Memandangkan gua tak ingin ke Balai Polis gara-gara dituduh cuba untuk melarikan Almera tersebut, gua akur untuk mengikuti laluan yang telah ditetapkan. Dengan laluan yang sebegitu pendek, gua cuba memanfaatkan setiap detik bersama Almera. Harus gua akui yang gua agak berpuas hati dengan kuasa yang dimiliki oleh Almera ini. Proses penukaran gear macam tak berapa nak rasa langsung. Lancar orang kata. Cuma, barangkali Almera ini terasa sedikit kurang berkuasa. Namum itu bukanlah masalah besar kerana enjin 1.5 CVTC ini dirasakan sudah memadai untuk sebuah kereta keluarga.


Ketika gua cuba membuat U-Turn dengan sengaja bagi mencari kesedapan sistem suspensi, ternyata Almera ini tidak terlalu beroleng badannya. Malah radius pusingannya juga agak kecil yang mana ianya amat digemari oleh rakyat Malaysia yang gemar membuat  U-Turn sesuka hati tanpa memberikan isyarat langsung. Dari segi keselamatan untuk pemberhentian kereta secara paksa, sistem brek yang digunakan masih boleh diharap. Tak terlintas langsung gua nak gunakan mulut sebagai brek tambahan “Eh..eh..eh..” kerana bimbang kereta lambat untuk berhenti. Lengkap dengan ABS dan EBD bagai.




Bahagian dalamannya pula, rekaan berbentuk bulat jelas mendominasi papan pemuka. Sterengnya pun bulat juga. Tak pernah pula dibuat dek orang stereng berbentuk segitiga. Tapi maksud gua, bilamana lu orang perhatikan sterengnya, memang agak bulat. Itu belum lagi perati bahagian konsol tengahnya. Bulat. Bila pegang tombol gear auto itu pun memang jelas terasa kebulatannya. Payah juga gua nak menafsir kotak pemikiran sang perekabentuk Almera ini. Ergonomik barangkali. Eceh,  gua manalah into sangat pasal ergonomik ni. Pada gua, asal sedap mata memandang, sedap tangan memegang sudahlah. Iye tak?


Manakala pemilihan tempat duduknya juga cukup selesa baik dihadapan mahupun di bahagian penumpang belakang. Tapi gua syak, bahagian penumpang belakang lebih terasa selesa kerana ruang kelegaan kaki yang cukup luas. Jenis nak buat sila panggung memang sesuai sangat. Mujur juga pemilihan tona gelap cukup melegakan bagi yang mempunyai anak kecil. Boleh nangis woo kalau bahagian tempat duduk dipenuhi dengan efek tapak kasut mahupun bekas air minuman.


Untuk ruangan bonet di bahagian belakang, memang tersangatlah luasnya. kalau setakat nak balik kampung, isi dua beg besar berserta dengan stroller untuk anak kecil pun gua rasa macam muat lagi. Silap hari bulan, lu orang nak sumbat orang gaji bawa balik kampung duduk dalam bonet pun memang muat.


Sebelum lu orang pergi menempah Almera ini, suka untuk gua ingatkan bahawasanya kereta yang gua pandu uji ini telah dipasangkan dengan kit badan Impul yang mana juga boleh ditempah secara ala-carte. Amacam, nampak senonoh bukan? Kalau jenis yang kosong tu gua terasa macam kurang berselera sikit. Tapi gua yakin, ianya bukanlah satu isu besar. Formula rekabentuk Vios dan Almera ini ternyata punya persamaan. Jadi, kalau Vios itu boleh laku, ini kan pula Almera yang ternyata punya sesuatu yang lebih untuk ditawarkan kepada pembeli.


Kalo nak tau pasal Impul Nissan Almea punya spesifikasi bole baca kat bawah ni:




Okla rasa da berkenan mesti nak tau kan berapa harga dan bayaran  bulanan Nissan Almera ni.. Ok di bawah ni antara aku jumpa bayaran bulanan yang ditawarkan sama ada dengan 10% downpayment atau pun tidak.



So kalo rasa da berkenan apa tunggu lagi, cepat2 la pegi showroom Nissan yang berdekatan... Mana tau kalo lambat booking tak dapat nak pakai masa raya nanti...