Saturday, December 14, 2013

Review Almera Oleh Berita Harian

Nissan Almera punyai ciri yang menyenangkan, berbaloi
Tatkala melihat reka bentuk kereta keluaran Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) ini,  terlintas diminda bahawa reka bentuk bergaya dan moden. Sesuai untuk mereka yang muda namun mahukan sesuatu yang tampak menarik.
Ketika mahu menghidupkan enjin, timbul rasa janggal apabila kunci pintar dengan butang Start/Stop berada di sisi kiri berbanding kedudukan yang biasanya ada pada kebanyakan kereta lain, iaitu di sebelah kanan pada papan pemuka. Namun ia tidaklah mendatangkan kesukaran.
Disuntik dengan enjin 1.5 liter DOHC dengan CVTC 4-silinder, membuatkan pemanduan begitu lancar terutama ketika berada di atas lebuh raya. Cuma ada waktunya ketika ingin meningkatkan kelajuan, enjin sedikit menderum dan seperti berusaha keras, namun apabila sudah berada pada kelajuan yang diingini, pemanduan kembali lancar seperti sediakala.
Luas dan selesa adalah dua faktor utama yang dapat dirasai ketika memandu Almera 1.5 VL. Perjalanan sejauh 370km ke Kedah tidak begitu terasa, apatah lagi dengan ditemani sistem audio yang baik bersama empat pembesar suara. Faktor keluasan merupakan antara kekuatan yang ada pada Almera. Tidak kira sebagai pemandu mahupun penumpang, keselesaan tika berada didalam kereta ini pasti tidak dapat dipertikaikan lagi.
Buat mereka yang gemarkan perjalanan jauh, keluasan ruang kargo menjadi antara keutamaan ketika memilih kereta. Nissan Almera dapat memenuhi keperluan itu kerana ruang kargo pada kereta ini cukup besar dan praktikal khususnya buat mereka yang berkeluarga; dengan kapasiti 490 liter.
Reka bentuk kawalan penghawa dingin pada kereta ini tampil unik dan berbeza. Dengan rekaan bulat, ia menampakkan kelainan dan menunjukkan sesuatu yang lain dari kebiasaan. Manakala ciri reka bentuk klasik pula disuntik pada pemegang pintu bahagian dalam. Teknologi kunci pintar pada pemegang pintu bahagian luar membolehkan kereta dikunci atau dibuka dengan hanya menekan butang yang tersedia.
Menariknya, dengan kapasiti tangki minyak penuh sebanyak 41 liter, kereta ini dapat memberikan penjimatan minyak dan sebagai bantuan kepada pemandu, di bahagian meter terdapat angka terpapar menunjukkan jarak perjalanan yang boleh ditempuh bergantung kepada jumlah minyak yang ada.
Bersesuaian dengan keadaan semasa, mungkin Nissan Almera ini akan menjadi lebih baik jika disuntik dengan teknologi ‘auto flip side mirror’ memandangkan situasi di bandar yang memungkinkan berlakunya pelanggaran cermin sisi, terutama ketika meletak kenderaan.
Nissan Almera tidak kurang hebatnya dari aspek teknologi. Kereta sedan dalam segmen B ini dipasang dengan skrin 6 inci bagi navigasi multimedia bersama kamera pandang belakang (rear view camera), pemain DVD, sambungan iPOD, USB dan Bluetooth.
Kesimpulannya, kereta Nissan Almera ini menjanjikan keselesaan dari segi pemanduan dan keluasan, praktikal untuk mereka yang mahukan kereta yang luas terutama yang berkeluarga dan sesuai untuk mereka yang gemarkan kereta dengan gaya mewah. -Asyikin Md Isa.
SPESIFIKASI
Nissan Almera 1.5L VL
Enjin: 1.5 Liter DOHC dengan CVTC
Kuasa maksimum: 101hp @ 6,000rpm
Tork maksimum: 139 Nm @ 4,000rpm
Transmisi: Automatik 4-kelajuan
Ciri keselamatan: Dua beg udara depan, ABS, EBD, Anti-theft alarm dan sistem immobilizer.
Plihan warna: Bronze Gold, Sapphire Black, Twilight Grey, Tungsten Silver dan Brilliant White
Harga: RM79, 813.50 (harga atas jalan dengan insurans)

No comments:

Post a Comment